KUALA LUMPUR:
Setelah tujuh tahun dilaksanakan dan terus menjadi isu hangat, kerajaan
akhirnya mengumumkan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains
dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2012.
Pengumuman dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin yang juga Menteri Pelajaran pada 8 Julai lepas. Ia adalah antara
keputusan paling penting oleh Muhyiddin hanya tiga bulan selepas
dilantik menerajui kementerian itu.
Pelantikan Muhyiddin ke jawatan itu menunjukkan betapa pentadbiran
baru kepimpinan Perdana Datuk Seri Najib Tun Razak mengutamakan aspek
pendidikan.
PPSMI bakal digantikan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan
Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), yang menurut kerajaan, tidak
merugikan manamana pihak sama ada yang menolak mahupun menyokong PPSMI
kerana dasar baru itu bertujuan memberikan keseimbangan.
Katanya segala persiapan sudah bermula kerana kerajaan tidak mahu
terjerumus lagi dalam ketidakpastian apabila sesuatu dasar
diperkenalkan.
Bukan sekadar memansuhkan PPSMI, komitmen dan keikhlasan kerajaan
meletakkan rakyat sebagai keutamaan terus diperlihatkan apabila lebih
RM30 bilion diperuntukkan untuk bidang pendidikan menerusi Bajet 2010.
Kementerian itu juga meletakkan empat matlamat dalam Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pendidikan iaitu memperluas dan
memantapkan pendidikan prasekolah, meningkatkan kadar literasi dan
numerasi, mewujudkan sekolah berprestasi tinggi dan guru besar
berprestasi cemerlang.
Muhyiddin juga menekankan perbelanjaan sederhana bagi projek
infrastruktur pendidikan, kerana baginya, peruntukan yang lebih
seharusnya disalurkan untuk meningkatkan kualiti guru kerana guru yang
benar-benar berkualiti lebih memberi manfaat berbanding infrastruktur
fizikal yang tersergam indah.
Beliau juga mengumumkan pendidikan prasekolah bakal menjadi
sebahagian daripada sistem pendidikan negara bagi meningkatkan
penguasaan BI bermula dari peringkat awal selain untuk meningkatkan
kadar penyertaan murid prasekolah sebanyak 20 peratus pada 2012.
Guru BI yang sedia berkorban untuk berkhidmat di luar bandar pula
diberi insentif tambahan bagi memastikan pelajar di luar bandar tidak
ketinggalan apabila strategi memperkukuhkan bahasa itu dilaksanakan
pada 2012.
Pengetua dan guru yang berjaya menaikkan mutu pendidikan pelajar juga akan diberi imbuhan berpatutan.
"Ini adalah sebahagian daripada inisiatif yang akan diteruskan oleh
kementerian untuk tingkatkan profesionalisme para pendidik di seluruh
negara," katanya.
Cadangan sekolah satu aliran yang dikemukakan oleh Prof Emeritus Tan
Sri Dr Khoo Kay Kim menimbulkan perbahasan sehingga di Parlimen.
Ia juga mendapat perhatian Perdana Menteri yang berpendapat sistem
pendidikan negara akan bertukar kepada sekolah satu aliran hanya
apabila rakyat bersedia dan dikehendaki semua pihak.
Muhyiddin pula menyifatkan sistem pendidikan pelbagai aliran di
negara ini sebagai satu "takdir sejarah" yang hanya boleh diubah
sekiranya semua kaum bersedia untuk menerima dan mengamalkan sistem
aliran lebih bersepadu.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula menyokong padu
cadangan itu kerana beranggapan perpaduan yang terbaik hanya akan dapat
dibentuk melalui pendidikan.
Meskipun wujud pelbagai isu, sistem pendidikan di Malaysia tetap
mendapat pengiktirafan sebagai antara yang paling berjaya dalam
menyediakan akses kepada pendidikan untuk semua rakyat.
Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan BangsaBangsa Bersatu
(Unesco) dalam Laporan Pemantauan Global Pendidikan Untuk Semua 2009
meletakkan Malaysia pada kedudukan ke45 daripada 129 negara sekaligus
menempatkan Malaysia dalam kalangan negara yang berada pada aras tinggi.
Pujian juga harus diberikan kepada seluruh penjawat awam di
kementerian itu yang menunjukkan sikap profesionalisme yang tinggi
dalam menangani permasalahan, termasuklah langkah bersiap sedia
menghadapi wabak influenza A(H1N1) dan bencana banjir di sekolah. BERNAMA
1 ulasan:
Salam sobat, semoga pelajaran di kerajaan lebih maju.
Pertemanan akan lebih indah, jika kita dapat tukar link, ok?
Catat Ulasan