PETALING JAYA:
Lambakan pil dan serbuk khayal murah, bahan bacaan berunsur seks dan
lucah serta pil perangsang seks masih didapati dijual secara terbuka
kepada pelajar sekolah menengah dan belia di sekitar ibu negara,
menurut Persatuan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPA).
Presiden MCPA, Ravi Ponnan berkata berdasarkan pemantaun pertubuhan
bukan kerajaan itu, cakera padat lucah, pemetik api dan kad permainan
daun terup yang memaparkan imej wanita separuh bogel turut dijual.
"Kesemua barangan ini dan juga alat renjatan elektrik dan pistol
mainan berkualiti tinggi juga boleh didapati dengan mudah dan murah di
pasar-pasar awam dan kedai runcit," katanya dalam satu sidang media.
Ravi berkata sebagai contoh, sejenis ubat khayal buatan India yang
didakwanya boleh menyebabkan kanser boleh didapati dengan harga 60 sen
di pasar malam, kedai runcit dan juga restoran mamak.
"Ia berupa serbuk kasar yang merupakan campuran pinang dan tembakau.
Meskipun ianya bukan dadah namun ia boleh memberi efek khayal selepas
15 minit memakannya, malahan di India serbuk ini diharamkan.
"Ubat ini menjadi tarikan kepada pelajar sekolah memandangkan
harganya yang amat murah. Pelajar-pelajar ini menipu guru dan ibu bapa
dengan mengatakan kononnya ianya adalah ubat sakit kepala sedangkan
mereka sudah ketagih ubat tersebut," kata Ravi.
Hasil pemantauan yang dijalankan oleh NGO itu sejak November lepas
turut mendapati ramai pekerja asing yang bekerja di negara ini
terutamanya di restoran dan premis cucian kereta mengambil bahan
terlarang itu.
"Kami juga membuat pemantauan di pasar awam berhampiran Kampung Baru
dan setelah tiga kali memujuk penjual, kami berjaya membeli dua buah
alat renjatan elektrik yang berharga RM70 dan RM80 setiap satu yang
berbentuk telefon bimbit dan lampu suluh," katanya.
Beliau berkata MCPA bersedia untuk menyalurkan segala maklumat
kepada pihak berkuasa malahan ia telah menghantar maklumat tentang isu
jenayah kepada beberapa agensi kerajaan termasuk polis, Imigresen,
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan,
Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan. - BERNAMA

1 ulasan:
anak-anak malaysia sekarang.adei@_@
Catat Ulasan