KEMENTERIAN
Pelajaran ingin merujuk surat dalam ruangan ini bertarikh 3 Disember
lalu atas tajuk 'Pendidik tak wajar lakukan tugas pentadbiran'.
Kenyataan 'guru-guru baru hendaklah bersedia menerima
sebarang tanggungjawab diberikan pengetua/guru besar mereka', adalah
ucapan saya ketika merasmikan konvensyen guru baru, Institut Pendidikan
Guru Malaysia (IPGM) yang berjumlah lebih 500 orang di Putrajaya
baru-baru ini.
Pada umumnya, profesion perguruan memerlukan komitmen tinggi
semua pendidik. Ini bagi memastikan generasi pewaris negara iaitu anak
didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi. Malah, kenyataan
'Akmal Fairuz' dalam sebuah akhbar tempatan 3 Disember lalu mengenai
tugas profesional guru dan tugas pentadbiran, masih boleh dipersoalkan.
Sebenarnya tugas seperti menulis buku rekod mengajar, memeriksa
buku latihan murid dan surat makluman kepada ibu bapa/penjaga adalah
sebahagian tugas profesional guru. Semua guru bertanggungjawab untuk
mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan serta kelemahan setiap
anak didik mereka.
Makluman ini bukan saja untuk pengetahuan guru bahkan untuk
disampaikan kepada ibu bapa/penjaga. Oleh itu, tugas yang dikatakan
tugas perkeranian itu sebenarnya, sebahagian tugas guru untuk mendidik
setiap murid bagi mencapai objektif pendidikan.
Dalam melaksanakan tugas sebagai seorang pendidik,
pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak hanya berlaku dalam bilik
darjah, malah guru perlu mempunyai kreativiti serta inisiatif untuk
melaksanakan P&P melalui aktiviti di luar bilik darjah.
Seorang guru perlu berusaha untuk membentuk kemahiran berfikiran kritis
dan kreatif murid belajar melalui pengalaman secara terus
(kontektualisme dan konstruktivisme) seperti gerak kerja luar bilik
darjah, lawatan sambil belajar dan aktiviti kemasyarakatan bersesuaian
dengan keperluan murid.
Usaha ini membabitkan pembentukan nilai murni, sahsiah,
peribadi mulia serta kemahiran insaniah melalui aktiviti pasukan
beruniform, kelab, sukan dan permainan dan lain-lain aktiviti luar
darjah.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran
berhasrat memperkasa sukan dan permainan di sekolah bagi melahirkan
atlit muda. Hal ini sudah tentu memerlukan komitmen guru sebagai orang
di barisan hadapan untuk melatih dan mengenal pasti bakat murid.
Oleh itu, latihan sebegini adalah juga tugas profesional
seorang guru. Ini juga selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu
untuk melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, jasmani, emosi
dan rohani
Seorang pentadbir sekolah perlu dilantik di kalangan profesional (guru)
kerana berasaskan kepada pengetahuan dan pengalaman, pengetua/guru
besar berupaya untuk memastikan semua dasar yang berkaitan dengan
pembangunan kemanusiaan dapat dilaksanakan selain urusan pentadbiran
biasa.
Guru mempunyai kelebihan dari segi pengetahuan ilmu psikologi
kanak-kanak/remaja dan kepakaran dalam pedagogi. Maka, semua guru
sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman
dengan membabitkan diri dalam pelbagai aktiviti sebagai langkah
menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbiran
profesional kelak.
Berkaitan dengan pandangan 'Akmal Fairuz', guru hanya
memberi tumpuan kepada P&P di bilik darjah, tidak begitu tepat.
Pengurusan pendidikan dilaksanakan oleh orang profesional. Mereka lebih
arif dan berpengalaman mengenai perkara membabitkan pendidikan dan
melahirkan modal insan.
Tidak salah guru yang berpengalaman dilantik sebagai
pentadbir seperti menjadi Pengetua/Guru Besar, pegawai PPD/JPN hingga
peringkat kementerian. Ini juga menjadi amalan di kebanyakan negara
maju.
Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan
tanggungjawab penuh dedikasi dan amanah bagi memartabatkan profesion
perguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang
diberikan kepada rakyat selaras gagasan '1Malaysia, Rakyat Didahulukan,
Pencapaian Diutamakan.'
TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM,
Ketua Pengarah Pelajaran Kementerian Pelajaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan