Wanita Jepun Tabah Pelajari Al Quran

LIDAHNYA bagaikan terbelit-belit setiap kali beliau ingin menyebut ayat-ayat suci Al-Quran.
Ada kala pula beliau keliru kerana tidak dapat membezakan satu huruf dengan satu huruf yang lain. Semuanya kelihatan asing baginya.
Tetapi, dalam setiap kegelapan pasti ada sinar cahaya. Segala susah payah yang dialaminya sebelum ini akhirnya berbaloi.
Cik Afiyah Keiko Watanabe, seorang anak kelahiran Jepun yang kini sudah berumah tangga dengan seorang lelaki Melayu dan mempunyai anak-anak di Singapura, akhirnya dapat mengenali huruf dan sudah pun boleh membaca Al-Quran.
Biarpun tidak lancar, tetapi ibu dua orang anak perempuan ini amat berpuas hati dengan kemajuannya dalam membaca Al-Quran.
'Apabila saya tiba di Singapura pada tahun 2000, saya mula belajar baca Al-Quran dari muqaddam di Darul Arqam, tetapi saya langsung tak faham. Saya putus asa dan kemudian tidak mengikuti sebarang kelas pun.
'Tapi, apabila saya mengandung anak pertama saya lima tahun kemudian, ibu mentua saya syorkan agar saya belajar semula dari muqaddam.
'Masa itu pun saya masih merangkak-rangkak membacanya dan mengalami kesukaran memahaminya,' cerita Cik Afiyah yang mula mengenali suaminya, Encik Shaiful Khairi, 33 tahun, pada tahun 2001 di Darul Arqam menerusi seorang teman.
Bagaimanapun, pada tahun lalu, Cik Afiyah yang telah memeluk agama Islam sekitar 10 tahun lalu semasa beliau masih di Jepun, mula mengikuti kelas belajar membaca muqaddam di Madrasah Al-Jauhar Darul Ulum yang diajar oleh Ustaz Ahmad Jelani Johari.
Teknik yang diajar Ustaz Jelani amat mudah untuk difahami, katanya, kerana beliau menggunakan power point dan kelasnya berjalan dalam bahasa Inggeris.
Selama lima bulan Cik Afiyah belajar - bermula daripada asas dengan cuba mengenal huruf satu-persatu - sebelum mempelajari tajwid pula selama lima bulan lagi.
Sebenarnya, perjalanan Cik Afiyah memeluk agama Islam juga begitu menarik. Selama 30 tahun beliau yang enggan mendedahkan usianya, tidak menganut sebarang agama atau menjadi free thinker. Apabila beliau bekerja di Greece selama tiga tahun, setiap hari beliau akan keluar berpesta bersama teman-temannya.
Namun, keadaan ibunya yang agak parah akibat sakit barah, menyebabkan Cik Afiyah kembali ke Jepun.
Dalam kekalutan melihat nasib dan keperitan yang dialami ibunya, Cik Afiyah mula berdoa. Beliau percaya, walaupun beliau tidak beragama, beliau yakin ada pencipta yang dapat menyelamatkan ibunya.
Beliau begitu lega apabila ibunya kembali sihat dalam masa tiga bulan dan mulai hari itu, hati Cik Afiyah mula terbuka untuk mencari agama yang sebenar.
Beliau mula mempelajari tentang agama-agama lain tetapi beliau mengalami kesukaran untuk memahami agama-agama tersebut.
Namun, minatnya terhadap agama Islam berputik apabila seorang temannya dari Malaysia memperkenalkan beliau kepada agama Islam.
Untuk meluaskan lagi pemahamannya tentang agama Islam, Cik Afiyah mula mencari laman-laman web Jepun yang membincangkan tentang Islam.
Hanya selepas sebulan, Cik Afiyah mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam dan ia disokong oleh ibu bapanya yang pada ketika itu masih lagi merupakan penganut Buddha.
Dua bulan selepas itu, beliau mendapat tawaran untuk bekerja di Singapura. Tetapi, selepas tujuh tahun menetap di Singapura, beliau tiba-tiba menerima panggilan bahawa ibunya sedang sakit tenat di hospital
Ketika beliau sedang menunggu untuk mendapatkan tiket pulang ke tanah airnya, beliau berbual di telefon bersama ibunya.
Dalam perbualannya, beliau sempat mengajak ibunya mengikutinya membaca dua kalimah syahadah di telefon dan sekitar tiga hari kemudian, ibunya meninggal dunia.
Apabila mengimbas kembali detik itu, Cik Afiyah berkata:
'Jadi, sebab itu, sekiranya saya mati esok, saya tidak mahu menyesal kerana tidak dapat mengenali dan membaca Al-Quran,' tambahnya yang kini mengikuti kelas membaca Al-Quran seminggu sekali dan berlatih membacanya lima hingga 10 minit setiap malam. [cyberita.asia1.com.sg]

5 ulasan:

Notami berkata...

salam..syabas pd cik afiyah krn telah memeluk agama Islam..
kpd yg dh mmg lahir2 jer agama Islam, jgn x bace al-Qur'an pulak!

Faizal Syukri @ Peja berkata...

teringat plak kat cikgu bahasa jepun Peja dlu, Rie Yamagami sensei... die duk kt fukuoka... aritu die ckp nak masuk Islam... tp xtau la cmne skrg...

Azmi berkata...

muallaf pun tekun belajar al quran tpi org yg asalnya islam???

Mr. Merlot berkata...

kuasa Allah S.W.T

Ir. Cacing Kerawit berkata...

kagum...orang melayu yang lahir dalam islam pun ada yang xreti baca al-quran

Setan Facebook