Lulusan SPM kurang cemerlang, gagal boleh ikuti latihan kemahiran

MUHYIDDIN bertanyakan sesuatu kepada pelajar terbaik sambil diperhatikan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom pada majlis meraikan pelajar dan sekolah terbaik SPM 2009 di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menyediakan inisiatif khas kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang cemerlang dan gagal untuk menyambung pelajaran dan menguasai kemahiran tertentu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, inisiatif itu bertujuan memberi peluang kepada pelajar yang gagal menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) menguasai kemahiran yang mampu membuka peluang kerjaya kepada mereka.
Katanya, Kementerian Pelajaran akan berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia untuk merangka kaedah terbaik bagi membantu pelajar kurang berjaya atau gagal itu supaya mereka dapat menguasai kemahiran sesuai. “Dengan adanya kemahiran ini, mereka dapat meningkatkan lagi pembelajaran dan kerjaya mereka pada masa akan datang,” katanya pada majlis meraikan pelajar dan sekolah terbaik SPM 2009 di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong; Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Alimuddin Awang dan Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia, Datuk Dr Salbiah Ismail.

Daripada 465,853 calon menduduki SPM tahun lalu, 4,626 calon (1.15 peratus) gagal atau memperoleh gred G, manakala seramai 7,987 calon (1.99 peratus) calon memperoleh gred cemerlang (A+, A dan A-) bagi semua mata pelajaran yang diambil.

Sebanyak 10 sekolah dan 16 pelajar cemerlang, termasuk dua pelajar dari Sekolah Sukan Bukit Jalil dan empat pelajar istimewa menerima sijil penghargaan dan piala pada majlis berkenaan.
Pemilihan sekolah itu dibuat berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS), iaitu gred mata pelajaran yang diambil pelajar sekolah yang diperoleh sekolah terbabit.

Manakala pelajar terbabit dipilih berdasarkan purata peratusan markah yang diperoleh calon tanpa memberi keutamaan kepada mana-mana mata pelajaran.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah (SM) Sains Seremban, Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Sekolah Tun Fatimah, SM Sains Alam Shah, SBPI Rawang, SM Sains Muar, SMPI Temerloh, SM Kebangsaan Jesus Convent, Johor Bahru dan Kolej Tunku Kurshiah, Seremban.

Muhyiddin berkata, mulai tahun ini kementeriannya membahagikan sekolah kepada empat kategori iaitu cemerlang, terbaik, memuaskan dan berpotensi mengikut GPS masing-masing.

Tiada ulasan: