Pengurus Mewah Dalang Jual klip Video Lucah Menerusi SMS


KUALA LUMPUR: Kehidupan mewah seorang pengurus sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka rupa-rupanya ditampung oleh kegiatan haramnya menjual klip video lucah kepada orang ramai melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) sejak setahun lalu.

Namun, kegiatan yang membolehkannya memiliki deretan kereta mewah dan harta mencecah RM11 juta ($4.5 juta) terbongkar selepas dia ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Selasa lalu, menyusuli laporan berhubung kegiatannya daripada syarikat tempatnya bekerja minggu lalu.

Sumber Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berkata, siasatan mendapati suspek sebelum ini bekerja dengan syarikat telekomunikasi terkemuka dan dipertanggungjawabkan menghantar SMS kepada pelanggan mengenai khidmat atau promosi semasa ditawarkan syarikat berkenaan.
Menurutnya, suspek yang bertugas sebagai pengurus sistem bagaimanapun mengambil kesempatan menyalahgunakan kemudahan laluan talian itu menghantar tawaran membeli klip video lucah kepada pelanggan dengan mengenakan kadar bayaran tertentu.

'Polis sebelum ini menerima beberapa aduan daripada pengguna yang terkejut dengan penyebaran iklan SMS berbaur seks secara meluas sejak setahun lalu. Susulan itu, polis cuba menyiasat dalang kegiatan itu termasuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
'Usaha itu akhirnya berhasil apabila suspek dikenal pasti baru-baru ini dan difahamkan dia sebelum itu sudah dikenakan tindakan oleh pihak pengurusan syarikat yang menyedari kesalahannya selama ini,' katanya. Difahamkan, pihak syarikat telekomunikasi berkenaan sudah memecat suspek sebelum laporan polis turut dibuat berhubung penyelewengan itu.

Menurutnya, suspek yang menyalahgunakan talian syarikat itu meraih keuntungan serta kepentingan diri sendiri mengumpul sehingga lebih RM11 juta hasil kegiatan lebih 16 bulan lalu.
 
'Jumlah keuntungan diperoleh amat menakjubkan berbanding jumlah gaji diterimanya kira-kira RM4,000 sebulan. Malah, jika diambil kira secara purata, suspek mampu memperoleh hampir RM700,000 sebulan hasil kegiatan haramnya itu,' kata sumber itu lagi. -- Harian Metro.

1 ulasan:

shameel Iskandar berkata...

sy sifatkan mrk ini sebagai golongan yg lemas di daratan. Ade dlm entry sy http://bicaradariaku.blogspot.com/2010/02/lemas-di-daratan.html